1. Sejak dari kecil, kita dibagitau, hak Melayu sentiasa terancam. Orang lain akan cuba rampas negara dari kita. Tengokkan Singapura. Orang lain berkuasa di sana. Makanya, perlulah undi parti Melayu dulu, kini dan selamanya.
2. Masa saya kecil, saya duduk di kampung Melayu, selalu saya rasa tak percaya dengan bangsa lain. Skeptikal itu tinggi, kadang tu borderline racist juga dibuatnya. Asal nama dan rupa lain semua saya tak percaya.
3. Dah besar masuk sekolah menengah dan masuk universiti, bercampur dengan bangsa lain, baru saya sedar, darah merah mereka sama dengan saya. Ya, ada juga yang ektrimis kaum, namun berapa kerat saja. Majoriti pentaksub parti.
4. Kebanyakan rakyat pelbagai kaum nak hidup sejahtera. Dan mahukan Malaysia yang aman, yang sama2 kita boleh cari makan. Kita nak bersukan, dan bermain di taman, sebelah2 takde hal. Ini yang idamkan. Tapi politikus, far left dan far right, permainkan. Sentimen agama dan perkauman.
5. Parti Melayu selalu propagandakan Melayu terancam di bumi sendiri. Tapi kalau tengok data yang ada, ekuiti bumiputera dari 21% tahun 1990-an, turun ke 16% tahun 2018. Selepas 50 tahun DEB dilaksanakan. Masih tiada peningkatan. Malah lagi teruk ada penurunan.
6. Tanah Rizab Melayu yang dijadikan sebagai satu daripada 7 wasiat Raja Melayu, untuk dikekalkan pada 50% sepanjang masa, sekarang hanya tinggal 12% sahaja, walaupun baru 65 tahun kita merdeka. Sedih kita melihatnya.
7. Perdana Menteri Malaysia dan Kerajaan yang ada, dari Menteri ke Ketua Setiausaha, dari DO ke piun Pejabat Tanah semua orang kita. Hilangnya hak dan kuasa kita adakah kerana orang lain juga?
8. Mereka kata, jangan Malaysia jadi seperti Singapura. Namun kita lupa, orang kita sendiri gadaikan Singapura kepada orang luar. Sampai pendatang menjadi penduduk majoriti di sana. Bila dah lebih ramai dari orang kita, nescaya kuasa politik mereka yang punya. Tapi perspektif ini dihilangkan saja.
9. Sama sahaja dengan Pulau Pinang, tanah tergadai ke British kerana persengketaan. Berebut menjadi Sultan. Lepas tanah tergadai, mereka ubah besar2an. Sampai terjejas anak watan. Lanskap sosial bertukar, pendatang jadi majoriti dan kuasai politik negeri.
10. Sejarah sudah mengajar kita, penguasaan hak milik tanah paling utama dalam setiap pembinaan negara bangsa. Itu sebab Yahudi Israel berebut tanah dengan Palestine, untuk dapatkan negara sendiri.
11. Bila saya dah besar, saya sedar, penduduk majoriti akan hilang kuasa politik kalau mereka lemah. Lemah melawan tamak haloba nak berkuasa, lemah kerana pegangan Cash is King, lalu merebak ke rasuah dan salahguna kuasa. Ini terbukti dalam sejarah kita.
12. Saya percaya, selagi kita penduduk majoriti negara dan kita angkat Melayu berintegriti dan berwibawa memerintah kita, bangsa saya tidak akan terancam. Malah orang lain akan hormat jua.
13. Melayu terancam bukan sebab orang lain, sebab sikap dan budayanya. Tambah sikap feudal sentiasa, yang diangkat perompak, penyangak dan gangster. Sebagai pemimpin mereka dengan moto dulu, kini dan selamanya. Di samping penunggang agama.
14. Kalau tidak dibendung, Malaysia akan jadi Sri Lanka. Berpuluh tahun, politik kaum dan agama diguna. Untuk cover rasuah dan salahguna kuasa pemimpin mereka. Tadbir urus lemah, kerana pemimpin haprak. Akhirnya, negara jadi bankrap. Rakyat merana. Banyak persamaan yang kita perlu belajar.
15. Hari ini saya akan senaraikan semua posting saya untuk melawan naratif Melayu Terancam. Moga jadi panduan tuan puan untuk buat keputusan.
16. Sesungguhnya, bangsa saya tidak terancam, yang terancam ialah golongan elitis bangsa, yang makin hilang kuasa. Tiada ruang untuk merompak kantung negara. Untuk anak cucu mereka.
17. Demi untuk anak cucu cicit kita, angkat pemimpin yang berintegriti dan berwibawa. Tolak propaganda sempit politik kaum dan agama. Itu sebenarnya parasit paling teruk dalam membina negara berjaya.
18. Moga PRU15 ini membawa sinar baru buat Malaysia.
Salam hormat,
Liyana Marzuki
Comments